AKHBAR BERITA HARIAN BERTARIKH 4 OGOS 2001
Berita Harian lalu menyiarkan berita yang bertajuk "Muzakarah Iktiraf Malaysia Negara Islam", dan akhbar Utusan Malaysia juga menyiarkan berita yang sama tetapi di bawah tajuk "Ulama Sepakat Malaysia Negara Islam". Intipati berita tersebut menyebut bahawa seramai 70 orang para ulama dan ilmuan Islam yang menghadiri 'Muzakarah Daulah Islamiah' pada 3 Ogos lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah sepakat menyetujui dan mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam ataupun sebaliknya bukanlah merupakan satu perkara yang baru - kerana persoalan ini pernah diperbincang atau diperdebatkan beberapa kali sebelum ini. Bagaimanapun, persoalan ini menjadi satu isu yang hangat akhir-akhir ini apabila berlakunya krisis politik di antara DAP dan PAS berhubung isu pembentukan negara Islam. Penentangan DAP terhadap 'pembentukan negara Islam' yang dislogankan oleh PAS bukan sahaja telah mengundang masalah kepada pakatan pembangkang, tetapi tempias daripada konflik tersebut juga sedikit sebanyak telah terkena pada batang hidung UMNO.
Dalam mencuri kesempatan untuk memperkukuhkan kedudukan hasil daripada krisis yang berlaku di antara DAP dan PAS berhubung isu negara Islam, UMNO bukan sahaja bertindak memanipulasikan isu itu, bahkan turut menyakinkan masyarakat umum, khususnya masyarakat Islam bahawa negara ini sebenarnya adalah sebuah negara Islam. Bagi UMNO, tidak ada alasan yang boleh digunapakai oleh PAS dalam mempersoalkan status keIslaman negara ini. Di sudut lain, UMNO juga dilihat telah cuba memainkan PAS dengan meminta PAS menyenaraikan secara 'legal' ciri-ciri atau bentuk negara Islam yang ingin diwujudkan
Melihat kepada kertas kerja yang bertajuk 'Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam' yang dibentangkan oleh Datuk Wan Zahidi Wan Teh dari Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan di majlis muzakarah tersebut, ada disenaraikan berhubung tugas-tugas yang perlu dilaksanakan dalam sesebuah negara Islam dan perkara-perkara itu pada simbolik sememangnya telahpun dilaksanakan oleh UMNO atau kerajaan yang ada pada waktu ini. Di antara perkara yang disebutkan itu termasuklah:
- Memelihara agama daripada sebarang pencerobohan fahaman atau ajaran yang memesongkan akidah dari ajaran Islam yang sebenar.
- Melantik jemaah menteri bagi membantu negara dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan dan harus melantik orang kafir yang menjadi warga di negara Islam sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah Islam. Bagi perlantikan menteri wanita, tidak ada sebarang dalil yang kukuh melarangnya.
- Menyediakan tentera yang mampu mempertahankan negara serta agama dari pencerobohan dan menjamin keamanan dalam negeri.
- Mewujudkan sistem kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan.
- Mendirikan solat lima waktu, sembahyang Jumaat dan sembahyang hari raya dengan membina masjid dan melantik imam.
- Mengendalikan urusan mengerjakan ibadah haji.
- Mengendalikan urusan pemungutan dan pembahagian zakat seperti perlantikan amil dan sebagainya.
- Memungut hasil dari sumber yang ada dalam negara.
- Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan tanah.
- Mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap bagi mengendalikan urusan kewangan, harta benda, kerajaan, pekerja dan pasukan bersenjata.
- Membenteras jenayah dan mengenakan hukuman terhadap penjenayah dengan hukuman yang sesuai.
- Melaksanakan tugas hisbah yang dalam konteks negara moden dikenali dengan bahagian penguatkuasaan.
Daripada penjelasan kertas kerja tersebut juga, disebutkan bahawa kewajipan pemerintah dalam sesebuah negara Islam adalah meliputi bidang tugas yang sangat luas, dan ia bukannya terhad kepada melaksanakan hukum hudud semata-mata. Dalam konteks Malaysia menurut kertas kerja itu, boleh dikatakan keseluruhan tanggungjawab yang menjadi kewajipan bagi sesebuah kerajaan Islam telah dilaksanakan kecuali dalam beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Mengenai perlantikan ketua negara, dikatakan tatacara perlantikan ketua negara di Malaysia adalah mengikut hukum fiqh Islam, di mana proses atau tatacara tersebut berlaku melalui dua kaedah iaitu pemilihan oleh pemimpin masyarakat Islam dan melalui lantikan pemerintah sebelumnya. Disebutkan juga bahawa Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua negara dilantik oleh Meyuarat Majlis Raja-Raja, sultan atau pemerintah negeri dilantik oleh raja sebelumnya, manakala Yang Di-Pertua Negeri pula dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Sementara Perdana Menteri selaku ketua eksukutif negara dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong dari kalangan anggota Dewan Rakyat yang memperolehi suara majoriti hasil daripada proses pungutan suara.
Muzakarah tersebut juga dikatakan turut merujuk kepada pendapat Imam Syafie yang menjelaskan bahawa mana-mana negara yang pernah menjadi negara Islam, status itu tidak akan hilang menurut hukum fiqah sekalipun umat Islam telah dikalahkan oleh orang bukan Islam di negara itu.
Tanpa mempersoalkan hasil daripada keputusan muzakarah tersebut, di sini inginlah pula saya membentangkan beberapa fakta yang boleh diambil serta dijadikan asas sama ada benar Malaysia sebuah negara Islam ataupun sebaliknya.
Sebagaimana disebutkan oleh Dr Mahamad bin Arifin dalam satu tulisannya yang bertajuk 'Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan', dan kemudiaannya tulisan tersebut telah dibukukan serta diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999 - judul buku 'Perkembangan Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan', beliau ada menyebutkan bahawa tujuan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang dituntut oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada dasarnya adalah untuk maksud upacara, misalnya untuk membolehkan doa dibuat menurut cara Islam dalam upacara rasmi seperti pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, menyambut hari merdeka dan upacara-upacara yang seumpamanya.
Demikian juga takrifan Islam yang diberikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian Hashim. Beliau berkata, 'tujuan Islam menjadi agama Persekutuan' yang dimasukkan pada Perlembagaan pada awalnya adalah semata-mata untuk upacara - rujuk 'The Relationship Between Islam and the State in Malaya', Intisari, Jil. 1,No. 1, hlm 8.
Perkataan 'Islam adalah agama bagi Persekutuan' seperti yang tercatat dalam Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan tidaklah mempunyai apa-apa kesan undang-undang. Mengikut Sheridan dan Groves, tujuan peruntukan Fasal (1) ini mungkin hanyalah untuk mengenakan tanggungjawab supaya keraian Persekutuan dijalankan mengikuti upacara Islam - rujuk L.A. Sheridan dan H.E. Groves, 1987, The Constitution of Malaysia, Edisi Keempat, Malayan Law Journal (Pte.) Ltd. Singapore, hlm. 31.
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera al-Hajj, bekas Perdana Menteri dalam satu kenyataannya di Sidang Dewan Rakyat pada tahun 1958 pernah menyebut: "Saya suka menjelaskan bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam sebagaimana yang difahamkan secara umumnya, kita cuma memperuntukkan Islam hanyalah menjadi agama rasmi bagi negara".
Perlembagaan Persekutuan sekalipun menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi sebenarnya undang-undang Islam tidaklah menjadi undang-undang tertinggi negara, kerana sebarang undang-undang yang dibuat adalah tertakluk kepada Perkara 4 (1) yang menyebut:
"Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu".
Bagi Islam, undang-undang yang tertinggi dan utama adalah bersumberkan wahyu. Daripada peruntukan yang disebutkan itu jelaslah menunjukkan bahawa peruntukan ini tidak sesuai dan tidak serasi dengan kehendak Islam. Walaupun pada masa yang sama Islam telah diisytiharkan sebagai agama bagi Persekutuan, namun hakikat tersebut tidak boleh digunakan untuk mengatasi peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang lain.
Sementara Allahyarham Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim pula dalam satu kertas kerjanya yang bertajuk 'Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia' menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan di Malaysia adalah hasil dari persetujuan yang telah dicapai antara penduduk-penduduk di Malaysia dari kalangan Melayu, Cina dan India dan perlembagaan itu telah digubal atas asas persetujuan itu.
Selanjutnya kata Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, memang jalan yang senang ialah dengan mengambil pandangan negatif terhadap Perlembagaan Persekutuan itu dan berkata bahawa ia tidak mengikut prinsip-prinsip Islam. Perlembagaan itu digubal oleh suatu Pesuruhjaya Perlembagaan yang dianggotai oleh pakar-pakar yang bukan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka bukan orang Islam. Perlembagaan itu tidak membuat rujukan kepada prinsip-prinsip cara pemerintahan Islam dan ia berpandu kepada apa yang dikatakan sebagai pemerintahan cara Westminster. Katanya lagi, Perdana Menteri pertama yang sangat dihormati telah menegaskan bahawa Malaya (Malaysia) adalah sebuah negara sekular dan pandangan itu telah diterima oleh kebanyakan tokoh politik pada zaman beliau.
Sementara semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Terhadap Proses Perundangan Masa Kini' di Seminar Penilaian Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia pada penghujung November 1994, bekas Dekan Kulliyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menyebut bahawa nilai-nilai Islam masih belum diterapkan sepenuhnya dalam bidang perundan gan dan kehakiman di negara ini.
Katanya, semenjak negara di jajah dan hinggalah ke hari ini, Mahkamah Syariah kerap diletakkan pada kedudukan lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil. Sementara para hakim dan pegawainya juga turut dipandang rendah berbanding hakim dan pegawai Mahkamah Sivil.
Menurut beliau, keadaan ini berlaku kerana Mahkamah Sivil merupakan Mahkamah Persekutuan, sementara Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Negeri. Undang-undang yang ditadbirkan di Mahkamah Sivil adalah undang-undang sekular yang mana hakimnya merupakan pakar dalam undang-undang lazim Inggeris dan kaedah ekuiti di England, tetapi tidak mahir dalam bidang perundangan Islam.
Sekiranya sesuatu perkara mengenai undang-undang Islam dirujuk kepada Mahkamah Sivil, keputusan yang diputuskan oleh hakim kebiasaannya dibuat mengikut kes yang diputuskan di England dan India, jarang sekali rujukan dibuat kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Berdasarkan kepada apa yang disebutkan itu, dapatlah difahamkan bahawa kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara masih jauh terkebelakang walaupun dalam masa yang sama ada sesetengah pihak mengatakan bahawa perundangan negara sedang menuju ke arah Islam atau pandangan yang lebih ekstrim menyebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam tulin.
Sukalah disebutkan di sini bahawa pengekalan negara ini sebagai sebuah negara sekular telah terkandung dalam satu memorandum yang telah ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman (mewakili UMNO) serta pemimpin MCA dan MIC yang dihantar pada Suruhanjaya Reid pada tahun 1956, yang antaranya berbunyi:
"The religion of Malaya shall be Islam, the observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the State is not a secular State".
Maksud memorandum tersebut ialah:
"Agama bagi Malaya adalah Islam, kepatuhan kepada prinsip ini tidaklah menjadikan halangan kepada orang-orang bukan Islam bagi menyebar dan mengamalkan agama mereka dan tidak boleh ditakrifkan bahawa negara ini sebagai negara bukan sekular".
Kiranya UMNO mengkaji sejarah serta menyemak semula kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh para pemimpin mereka, hatta Dr. Mahathir sendiri dan ditambah lagi dengan realiti yang ada, sememangnya UMNO tidak berani mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam tulin melainkan propaganda atau ingin mengalih pandangan masyarakat untuk terus memberikan sokongan terhadapnya.
Justeru, UMNO bukan sahaja bertindak 'bebal' dengan mengheret DAP dan masyarakat bukan Islam supaya membenci atau menjauhkan diri daripada PAS, malah mereka bertindak terkebelakang dengan mempersoalkan bentuk serta ciri-ciri negara Islam yang ingin diwujudkan oleh PAS. Apakah UMNO tidak sedar ataupun telah terlupa bahawa dalam manifesto pilihanraya PAS pada tahun 1990, bentuk serta ciri-ciri negara yang ingin diwujudkan oleh PAS telah disebutkan dengan jelas lagi nyata.
Kedangkalan UMNO dalam memahami bentuk serta ciri-ciri negara Islam yang sebenar disamping menyalah tafsirkan pandangan para ulama muktabar berhubung dengan negara Islam juga sebenarnya sedikit sebanyak telah memakan diri mereka pada waktu ini. Apa tidaknya, masyarakat sedang menilai apakah UMNO benar-benar parti yang ikhlas dalam memperjuangkan Islam (sedangkan hudud dan prinsip keadilan sejagat ditentangnya) ataupun sebuah parti hipokrit yang memperalatkan Islam untuk terus mencengkam kuasa dan melenyapkan pengaruh politik musuhnya.
Hakcipta Terpelihara JAKIM © 2001
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Aras 4-9 Blok D7, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. 62502 PUTRAJAYA
Artikal terakhir Sdr Rosli Ibrahim di Laman ini ialah pada 21 Jun 2000 (sila lihat arkib) - Webmaster
Tarikh artikal diterbitkan 1 SEPTEMBER 2001
Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu